Tuesday, 1 July 2014

Aspek Sastera


Aspek-Aspek Sastera

i)               Tema

 

Tema ialah gagasan pemikiran utama, persoalan pokok atau idea utama yang mahu dikemukakan oleh pengarang. Idea ialah fikiran atau sesuatu yang menjadi persoalan bagi pengarang dan tunjang kepada sesebuah karya.

 

ii)             Persoalan

 

Persoalan ialah isu-isu sampingan atau permasalahan lain yang mempunyai hubungan dengan tema yang hendak diungkapkan oleh pengarang bagi menguatkan sesuatu tema yang dikemukakan dalam sesebuah karya.

 

iii)           Plot

 

Plot ialah sesuatu yang menghubungkan antara peristiwa dalam sesebuah karya yang pertaliannya dengan gerak laku fizikal dan rohani pelaku atau watak.  Setiap peristiwa dan gerak laku yang berlaku adalah berdasarkan kepada hukum sebab dan akibat.

Plot yang disusun mungkin secara kronologi atau bukan kronologi.

Plot kronologi ialah plot yang disusun mengikut urutan, iaitu peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan dan kemudian akan dikemudiankan. Sementara plot bukan kronologi ialah peristiwa yang berlaku kemudian didahulukan sementara peristiwa yang berlaku dahulu dikemudiankan, iaitu tidak mengikut susunan masa.

 

iv)           Watak dan Perwatakan

 

Watak ialah pelaku atau pelakon dalam sesebuah karya. Watak tidak semestinya manusia, tetapi boleh juga terdiri daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan unsur alam. Watak yang cerita boleh dikaji dari segi watak utama, sampingan, statik, protagonis atau antagonis.

Perwatakan pula ialah sifat-sifat luaran dan sifat-sifat dalaman yang positif dan negatif secara menyeluruh yang disorot melalui perasaan, tindakan, pemikiran dan fizikal seseorang watak itu. Gambaran watak boleh disampaikan oleh pengarang secara langsung dan tidak langsung melalui tutur kata, aksi atau cara berfikir watak.

v)             Latar

Latar ialah latar belakang bagi sesebuah cerita. Latar terbahagi kepada tiga iaitu latar tempat, latar masa dan latar masyarakat. Latar masa ialah waktu atau tempoh masa sesuatu peristiwa yang digambarkan dalam cerita. Contohnya pagi, tengah hari, senja, malam, zaman pendudukan Jepun, zaman moden dan sebagainya. Latar tempat ialah tempat berlakunya sesuatu peristiwa itu berlaku misalnya dalam rumah, di Pasir Mas, dalam hutan dan sebagainya. Latar masyarakat ialah keadaan atau gambaran masyarakat di tempat sesuatu peristiwa itu berlaku misalnya masyarakat kampung, masyarakat bandar dan sebagainya.

vi)           Nilai

 

Nilai-nilai baik sifat ketinggian yang seharusnya dimiliki, dihayati dan diamalkan  oleh manusia seperti pemikiran, agama dan kemasyarakatan. Antara nilai-nilai baik itu ialah:

 

1.             a.   Keadilan
2.            l.   Kebijaksanaan
3.             b.   Amanah
4.            m. Keberanian
5.             c.   Bertanggungjawab
6.            n.  Berbudi bahasa
7.             d.   Berdikari
8.            o.  Rendah diri
9.             e.   Ketabahan
p.  Kerjasama/tolong-menolong
11.         f.   Keinsafan
12.          q.  Nasihat-menasihati
13.         g.  Kejujuran
14.          r.   Patriotik
15.         h.  Kesederhanaan
16.          s.   Kerajinan
17.         i.   Mengenang budi
18.          t.   Kesabaran
19.         j.   Bertolak ansur
20.          u.  Simpati/belas kasihan
21.         k.  Hormat-menghormati
22.          v.  Ketaatan
 
 

vii)         Pengajaran

 

Pengajaran ialah amanat, pedoman atau peringatan yang dapat diambil daripada cerita, terutama dari segi moral dan pendidikan untuk menghayati konsep yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

 

viii)       Gaya Bahasa

Gaya bahasa dilihat daripada dua aspek iaitu unsur bahasa dan unsur bunyi. Unsur  bahasa dalam sesebuah karya tercipta daripada beberapa unsur contohnya diksi, inversi, sinkof, personifikasi, metafora, simile, hiperbola, hybrid, anaphora, responsi dan epifora.

Gaya bahasa simile bermaksud perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata banding seperti bak, bagai, umpama, ibarat, dan seperti. Contohnya umpama emas warna cemerlang. Gaya bahasa personifikasi bermaksud perorangan atau pemberian sifat manusia kepada objek tidak bernyawa. Contoh, bayu bertiup lemah gemalai. Metafora merupakan sejenis gaya bahasa perbandingan secara terus atau bahasa kiasan yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak misalnya gunung bahagia. Gaya bahasa hiperbola pula bermaksud membandingkan sesuatu secara berlebih-lebihan atau melampau. Misalnya seluruh pusara digoyang gempa. Sinkof ialah pemendekan sesuatu kata dengan cara menggugurkan sebahagian suku kata. Contohnya, kamu (mu), engkau (kau), sudah (dah) dan sebagainya.

Unsur pengulangan terdiri daripada anafora, responsi dan epifora. Anafora bermaksud pengulangan kata berturut-turut pada awal baris. Misalnya, kurasa diriku terlalu kecil, kurasa ibadatku terlalu nipis. Responsi ialah pengulangan kata berturut-turut pada tengah baris. Contohnya, boleh mengetahui siapa kawan siapa lawan, siapa saudara siapa bukan. Epifora bermaksud pengulangan kata berturut-turut pada akhir baris. Misalnya, tapi bukan sebenar mati, yang hidup pasti mati.

Unsur bunyi ialah aliterasi dan asonansi. Aliterasi ialah pengulangan huruf konsonan yang sama dalam satu baris puisi. Contohnya, memetik kemboja di taman asuhanmu – pengulangan konsonan m. Asonansi ialah pengulangan huruf-huruf vokal yang sama dalam satu baris puisi. Contohnya, kerana tanah baik budinya – pengulangan vokal a.