Saturday, 28 June 2014

Matlamat KOMSAS


Matlamat Pengajaran KOMSAS

i.               Melahirkan murid yang kreatif dan kritis

ii.             Meningkatkan kekuatan rohani dan intelek

iii.           Memupuk kesedaran terhadap nilai estetika karya dan keindahan bahasa

iv.           Mengenali dan mengurus perasaan murid

v.             Meningkatkan kemahiran interpersonal dan intrapersonal

Objektif KOMSAS

Objektif

Hasrat memasukkan komponen sastera (KOMSAS) dalam kurikulum Bahasa Melayu adalah untuk membolehkan murid:
 
i.   Meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca pelbagai genre sastera iaitu novel, cerpen, drama, prosa tradisional, puisi moden (sajak), dan puisi tradisional

ii.   Mengenal, menghayati dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis

iii.  Mengenal dan menggunakan istilah sastera, iaitu tema dan persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, plot, sudut pandangan, nilai dan pengajaran

iv. Mengenal pengarang berdasarkan karya yang telah diperakui seperti pengarang Sasterawan Negara dan penulis terkenal

v.  Menghayati nilai murni dan pengajaran daripada karya sastera yang dibaca

vi. Menghasilkan karya sastera yang kreatif seperti menghasilkan novel, cerpen, sajak dan drama yang bermutu tinggi dan boleh dibanggakan

Oleh itu pendedahan komponen sastera bertujuan membolehkan murid menikmati dan mengapresiasi karya sastera, mengetahui ilmu sastera secara ringkas, mengenal penulis dan sejarah perkembangan tanah air berdasarkan karya yang dibaca serta mengukuhkan kemahiran berbahasa murid. Melalui pembacaan karya-karya ini, secara tidak langsung murid dapat memupuk tabiat minat membaca.


Kepentingan Pengajaran KOMSAS
 
Sebelum Komsas dilaksanakan, pelajar sudah didedahkan dengan unsur atau bahan sastera dalam pendidikan bahasa. Namun, keberkesanannya dalam aspek penghayatan nilai tidak membanggakan. Hal ini demikian kerana pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada aspek input bahasa semata-semata. Aspek nilai estetik, keindahan bahasa, dan sosio budaya yang tergarap dalam karya yang digunakan itu tidak diberikan tumpuan. Sebaliknya, melalui Komsas, aspek-aspek tersebut diberikan penekanan di samping untuk meningkatkan keupayaan pelajar berbahasa.  

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana kedua-dua aspek ini lahir daripada sosio budaya masyarakatnya. Tumpuan kepada pembelajaran bahasa semata-mata tidak memadai kerana pelajar mungkin dapat menguasai bahasa dengan baik dari aspek tatabahasanya, tetapi dalam aspek keindahan bahasa, diksi, daya intelek, daya kreatif dan seumpamanya dapat dikuasai melalui ilmu sastera. Atas dasar itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah tidak memisahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera. Hal ini harus disedari bukan sahaja oleh guru, tetapi juga oleh pelajar bagi mengikis sikap penguasaan ilmu bahasa dan sastera hanya untuk peperiksaan. Tetapi sebaliknya, penguasan ilmu bahasa dan sastera untuk membina dan meningkatkan jati diri pelajar. Hal ini jelas tergambar dalam matlamat pengajaran Komsas.

Pengenalan KOMSAS


Pengenalan

KOMSAS atau Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1999. Kementerian Pelajaran telah menetapkan teks yang wajib dipelajari dan diuji dalam peperiksaan awam. Pelaksanaan KOMSAS di sekolah dijalankan secara berperingkat mulai Mac 2000, bagi murid tingkatan satu dan tingkatan empat. Tahun 2001 bagi tingkatan dua dan tingkatan lima, serta tahun 2002 bagi tingkatan tiga. Dengan terlaksananya dasar ini maka semua murid, bermula daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima telah mendapat pendedahan asas mengenai sastera Melayu. Secara tidak langsung. Mulai 2010, teks KOMSAS yang sedia ada telah ditukar kepada teks yang baharu bermula dengan Tingkatan 1 dan 4, 2011 Tingkatan 2 dan 5, dan 2012 Tingkatan 3. Penukaran teks KOMSAS yang baharu ini menekankan 3 dimensi penting iaitu :

Pada tahun 2008, teks baru telah digunakan bagi menggantikan teks yang diguna pakai ada tahun 2000. Genre yang sama dikekalkan iaitu novel, puisi tradisional, sajak, prosa tradisional, cerpen dan drama.

Teks yang dipilih bagi kesemua genre  merangkumi atau mencakupi pelbagai tema. Antara tema yang dipilih adalah seperti patriotisme/ sejarah, ICT/ sains dan teknologi, jati diri/ kerohanian/ moral, kemanusiaan/ keamanan sejagat, perpaduan/ kemasyarakatan/ kewarganegaraan, setiakawan/ persahabatan/ kekeluargaan, alam sekitar/ pembangunan, sukan/ gaya hidup sihat/ kesihatan, budaya ilmu/ budaya saing, cinta dan kasih sayang, perniagaan dan keusahawanan, dunia remaja, wawasan negara, kebebasan/ hak asasi, kesenian/ adat/ warisan, keselamatan selaras dengan perubahan pendidikan negara.

 
            Pertimbangan juga melibatkan aspek-aspek intrinsik teks misalnya tema dan persoalan,  plot, teknik penceritaan, watak dan perwatakan, latar (latar masa, latar tempat dan latar masyarakat), nilai dan pengajaran, gaya bahasa dan sudut pandangan  dalam teks serta boleh dianalisis oleh guru dan murid. Pertimbangan turut mengambil kira aras kesukaran untuk setiap teks agar murid yang mempelajari KOMSAS boleh mengikuti pengajaran guru dengan berkesan.

 
Jenis dan bilangan teks KOMSAS  masih dikekalkan selaras dengan kehendak Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 1 hingga  Tingkatan 5. Enam waktu seminggu telah diperuntukkan kepada murid bagi mengikuti mata pelajaran Bahasa Malaysia dengan nisbah empat waktu untuk Bahasa Malaysia dan dua waktu untuk KOMSAS. Berdasarkan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu semakan 2002 yang telah diterbitkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia, KOMSAS tergolong dalam bidang estetik. Bidang ini memberikan fokus pada keupayaan murid untuk menguasai aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa. Selain itu, ia juga menekankan kepada penghayatan penghasilan dan persembahan sesebuah teks yang dikaji itu.