Saturday, 28 June 2014

Objektif KOMSAS

Objektif

Hasrat memasukkan komponen sastera (KOMSAS) dalam kurikulum Bahasa Melayu adalah untuk membolehkan murid:
 
i.   Meningkatkan dan mengukuhkan minat membaca pelbagai genre sastera iaitu novel, cerpen, drama, prosa tradisional, puisi moden (sajak), dan puisi tradisional

ii.   Mengenal, menghayati dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis

iii.  Mengenal dan menggunakan istilah sastera, iaitu tema dan persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, plot, sudut pandangan, nilai dan pengajaran

iv. Mengenal pengarang berdasarkan karya yang telah diperakui seperti pengarang Sasterawan Negara dan penulis terkenal

v.  Menghayati nilai murni dan pengajaran daripada karya sastera yang dibaca

vi. Menghasilkan karya sastera yang kreatif seperti menghasilkan novel, cerpen, sajak dan drama yang bermutu tinggi dan boleh dibanggakan

Oleh itu pendedahan komponen sastera bertujuan membolehkan murid menikmati dan mengapresiasi karya sastera, mengetahui ilmu sastera secara ringkas, mengenal penulis dan sejarah perkembangan tanah air berdasarkan karya yang dibaca serta mengukuhkan kemahiran berbahasa murid. Melalui pembacaan karya-karya ini, secara tidak langsung murid dapat memupuk tabiat minat membaca.


Kepentingan Pengajaran KOMSAS
 
Sebelum Komsas dilaksanakan, pelajar sudah didedahkan dengan unsur atau bahan sastera dalam pendidikan bahasa. Namun, keberkesanannya dalam aspek penghayatan nilai tidak membanggakan. Hal ini demikian kerana pengajaran dan pembelajaran menjurus kepada aspek input bahasa semata-semata. Aspek nilai estetik, keindahan bahasa, dan sosio budaya yang tergarap dalam karya yang digunakan itu tidak diberikan tumpuan. Sebaliknya, melalui Komsas, aspek-aspek tersebut diberikan penekanan di samping untuk meningkatkan keupayaan pelajar berbahasa.  

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana kedua-dua aspek ini lahir daripada sosio budaya masyarakatnya. Tumpuan kepada pembelajaran bahasa semata-mata tidak memadai kerana pelajar mungkin dapat menguasai bahasa dengan baik dari aspek tatabahasanya, tetapi dalam aspek keindahan bahasa, diksi, daya intelek, daya kreatif dan seumpamanya dapat dikuasai melalui ilmu sastera. Atas dasar itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah tidak memisahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera. Hal ini harus disedari bukan sahaja oleh guru, tetapi juga oleh pelajar bagi mengikis sikap penguasaan ilmu bahasa dan sastera hanya untuk peperiksaan. Tetapi sebaliknya, penguasan ilmu bahasa dan sastera untuk membina dan meningkatkan jati diri pelajar. Hal ini jelas tergambar dalam matlamat pengajaran Komsas.

3 comments:

  1. Salam sejahtera. Saya, Kee ingin menyampaikan pendapat saya terhadap artikel ini. Seperti yang dikatakan di atas, langkah untuk memasukkan komponen sastera (KOMSAS) dalam kurikulum bahasa Melayu dapat mencapai enam objektif ini. Namun, adakah objektif-objektif ini dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar di sekolah tidak berminat untuk membacanya atau sekadar menghafal untuk keperluan peperiksaan. Pada pendapat saya, jawapannya tidak. Oleh itu, bagi memastikan objektif-objektif ini dapat dicapai seperti yang dirancangkan, langkah-langkah penambahbaikkan amat diperlukan. Contohnya, ilustrasi yang menarik boleh dimasukkan dalam KOMSAS bagi menarik minat pelajar-pelajar untuk membacanya dan seterusnya mencapai objektif-objektif yang terdapat di atas. Selain itu, perkataan yang digunakan dalam KOMSAS harus mudah difahami oleh pelajar-pelajar di sekolah. Sekiranya pelajar-pelajar di sekolah tidak dapat memahami isi kandungan yang terdapat dalam KOMSAS, macam mana mereka dapat mengenal, menghayati dan menghargai KOMSAS?
    Sampai di sini sahaja pendapat saya terhadap artikel ini. Terima kasih~

    ReplyDelete
  2. Selamat petang, saya Pau. Walaupun komponen sastera (KOMSAS) termasuk dalam kurikulum Bahasa Melayu, tetapi pelajar pada zaman sekarang hanya menjadikannya sebagai satu subjek yang dipelajari untuk tujuan peperiksaan. Kebanyakan pelajar tidak menghayati atau menikmati karya-karya tersebut. Mereka berasa KOMSAS hanya dipelajari bagi memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan terutamanya peperiksaan SPM. Antaranya seperti tema dan persoalan, nilai, pengajaran, watak dan perwatakan, gaya bahasa dan sebagainya hanya dihafal oleh pelajar tanpa mengkajinya. Dalam konteks ini, guru sepatutnya memainkan peranan penting dalam isu tersebut. Guru boleh mengajar sesuatu topik KOMSAS dalam bentuk pengajaran secara kreatif. Misalnya, guru boleh membahagikan pelajar dalam beberapa kumpulan bagi mempersembahkan yang dipelajari. Melalui aktiviti ini, guru boleh memberitahu pelajar tentang objektif serta kepentingan KOMSAS kepada para pelajar. Lama-kelamaan, minat membaca pelajar dapat ditanam serta objektif pengajaran KOMSAS dapat dicapai.

    ReplyDelete
  3. If you're trying to lose pounds then you certainly need to get on this brand new tailor-made keto diet.

    To create this keto diet, certified nutritionists, fitness trainers, and top chefs have united to produce keto meal plans that are productive, convenient, money-efficient, and delicious.

    Since their first launch in early 2019, hundreds of individuals have already completely transformed their body and well-being with the benefits a proper keto diet can offer.

    Speaking of benefits: clicking this link, you'll discover 8 scientifically-confirmed ones offered by the keto diet.

    ReplyDelete