Saturday, 28 June 2014

Pengenalan KOMSAS


Pengenalan

KOMSAS atau Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1999. Kementerian Pelajaran telah menetapkan teks yang wajib dipelajari dan diuji dalam peperiksaan awam. Pelaksanaan KOMSAS di sekolah dijalankan secara berperingkat mulai Mac 2000, bagi murid tingkatan satu dan tingkatan empat. Tahun 2001 bagi tingkatan dua dan tingkatan lima, serta tahun 2002 bagi tingkatan tiga. Dengan terlaksananya dasar ini maka semua murid, bermula daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima telah mendapat pendedahan asas mengenai sastera Melayu. Secara tidak langsung. Mulai 2010, teks KOMSAS yang sedia ada telah ditukar kepada teks yang baharu bermula dengan Tingkatan 1 dan 4, 2011 Tingkatan 2 dan 5, dan 2012 Tingkatan 3. Penukaran teks KOMSAS yang baharu ini menekankan 3 dimensi penting iaitu :

Pada tahun 2008, teks baru telah digunakan bagi menggantikan teks yang diguna pakai ada tahun 2000. Genre yang sama dikekalkan iaitu novel, puisi tradisional, sajak, prosa tradisional, cerpen dan drama.

Teks yang dipilih bagi kesemua genre  merangkumi atau mencakupi pelbagai tema. Antara tema yang dipilih adalah seperti patriotisme/ sejarah, ICT/ sains dan teknologi, jati diri/ kerohanian/ moral, kemanusiaan/ keamanan sejagat, perpaduan/ kemasyarakatan/ kewarganegaraan, setiakawan/ persahabatan/ kekeluargaan, alam sekitar/ pembangunan, sukan/ gaya hidup sihat/ kesihatan, budaya ilmu/ budaya saing, cinta dan kasih sayang, perniagaan dan keusahawanan, dunia remaja, wawasan negara, kebebasan/ hak asasi, kesenian/ adat/ warisan, keselamatan selaras dengan perubahan pendidikan negara.

 
            Pertimbangan juga melibatkan aspek-aspek intrinsik teks misalnya tema dan persoalan,  plot, teknik penceritaan, watak dan perwatakan, latar (latar masa, latar tempat dan latar masyarakat), nilai dan pengajaran, gaya bahasa dan sudut pandangan  dalam teks serta boleh dianalisis oleh guru dan murid. Pertimbangan turut mengambil kira aras kesukaran untuk setiap teks agar murid yang mempelajari KOMSAS boleh mengikuti pengajaran guru dengan berkesan.

 
Jenis dan bilangan teks KOMSAS  masih dikekalkan selaras dengan kehendak Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 1 hingga  Tingkatan 5. Enam waktu seminggu telah diperuntukkan kepada murid bagi mengikuti mata pelajaran Bahasa Malaysia dengan nisbah empat waktu untuk Bahasa Malaysia dan dua waktu untuk KOMSAS. Berdasarkan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu semakan 2002 yang telah diterbitkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia, KOMSAS tergolong dalam bidang estetik. Bidang ini memberikan fokus pada keupayaan murid untuk menguasai aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa. Selain itu, ia juga menekankan kepada penghayatan penghasilan dan persembahan sesebuah teks yang dikaji itu.

5 comments:

  1. Kini, ramai pelajar tidak berminat dengan bidang KOMSAS kerana berana bosan dan tidak memahami isinya. Guru telah berperanan untuk memartabatkan bidang ini. Jadi, guru perlulah memupuk minat pelajar dalam bidang KOMSAS dengan menggunakan cara penjelasan yang tepat seperti teknik bercerita dan berlakon.

    ReplyDelete
  2. Selamat sejahtera. Seperti yang diketahui oleh masyarakat, KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu hanya tertumpu kepada murid tingkatan 1 hingga tingkatan 5 sahaja. Sebenarnya, ia juga boleh didedahkan kepada murid-murid sekolah rendah sebagai kesediaan kepada mereka untuk menguasai kemahiran membaca. Cetakan sastera atau hasil kreatif yang didedahkan kepada pelajar golongan ini boleh diselitkan dengan gambar yang berwarna serta disertakan dengan bahan audio visual untuk menarik minat mereka membaca bahan sastera. Seandainya kanak-kanak didedahkan dengan bahan sastera pada peringkat awal, sudah tentulah mereka akan menggunakan bahasa yang indah dalam pengucapan seharian mahupun dalam penulisan. Selain itu, pengajaran yang disampaikan dalam bahan sastera juga akan membentuk peribadi kanak-kanak yang lebih syumul dan memastikan mereka menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat. Sekian.

    ReplyDelete
  3. 'Melentur buluh biarlah dari rebung' memang sangat sesuai dengan konsep memperkenalkan sastera di peringkat sekolah. Pengaruh modenisasi yang sedang merebak telah memudarkan aktiviti kesusasteraan di peringkat sekolah misalnya pementasan drama dan Minggu Sastera. Berdasarkan huraian di atas, sememangnya usaha yang tidak bersungguh - sungguh sejak di peringkat sekolah lagi telah menyebabkan sastera terpinggir di hati generasi muda pada hari ini. Oleh itu, kementerian wajar mengambil inisiatif dengan memperkenalkan komponen sastera dalam sukatan pelajaran sejak di peringkat sekolah rendah.

    ReplyDelete
  4. Selamat sejahtera. KOMSAS merupakan satu bidang yang istimewa. Bidang sastera berupaya menjadi panduan hidup kerana ia memberikan mesej yang wajar berbentuk sebagai nilai - nilai murni dan pengajaran. Maka pengajaran sastera perlu dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah,

    ReplyDelete
  5. Salam sejahtera semua. Pada pendapat saya, komsas atau dikenali sebagai komponen sastera merupakan sebahagian daripada kesusasteraan Melayu. Sebagaimana yang kita ketahui, semua pelajar sekolah menengah telah diberi peluang untuk mempelajari komsas dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Setiap pelajar telah diberi 2 buah buku setiap tahun bagi mempelajari komsas, iaitu sebuah novel dan sebuah antologi. Persoalannya sekarang, terdapat ramai pelajar sekolah menengah yang tidak berminat dalam kesusasteraan Melayu yang melambangkan jati diri sendiri. Mereka menganggap bahawa komsas ataupun kesusasteraan Melayu tidak penting dan tidak membantu masa depan mereka. Bagi memupuk semangat ingin belajar dalam kalangan pelajar sekolah menengah, penerbit buku-buku komsas boleh mengubahsuaikan buku-buku komsas tersebut. Sebagai contohnya, novel yang diterbitkan boleh diubahsuai kepada sebuah komik yang bergambar menarik dan berwarna. Dengan adanya ilustrasi yang menarik, maka akan menarik lebih perhatian daripada pelajar-pelajar untuk membaca berbanding dengan novel yang penuh dengan huruf-huruf yang membosankan. Jika pelajar berminat dan memahami dalam kesusasteraan, mereka akan lebih fasih berbahasa Melayu dan memahami budaya tempatan.

    ReplyDelete